Friday, 17 April 2015

Pengurusan Kewangan Organisasi...

Kewangan merupakan faktor utama dan pemangkin yang dapat menggerakkan persatuan dengan lebih aktif dan lancar. Persatuan yang ditubuhkan seharusnya mengendali dan menguruskan kewangan dengan cekap, teliti dan mengikut peraturan yang telah ditentukan oleh Perlembagaan Persatuan. Pengurusan kewangan bermaksud pengurusan membuat penyata kewangan dengan rapi,teratur dan sistematik. Pembentangan kewangan perlu dilakukan setiap kali mesyuarat jawatankuasa kerja diadakan. Sesebuah persatuan perlu mempunyai penyata dengan teratur dan sistematik.

Antara penyata kewangan yan perlu dicatat dalam buku dan stok persatuan ialah :

• kenyataan yuran keahlian 
• kenyataan wang keluar masuk 
• kenyataan simpanan di bank dan resit-resit pembayaran 
• buku resit terima wang 
• daftar nama harta kepunyaan persatuan (buku stok) 


Sumber kewangan dalam sesebuah persatuan adalah terdiri daripada: 

Yuran ahli 

Setiap persatuan pasti mempunyai ahli untuk menjalankan aktiviti tertentu. Setiap aktiviti yang dijalankan memerlukan wang untuk dilaksanakan. Oleh itu, secara tidak lansung yuran keahlian merupakan salah satu sumber pendapatan persatuan yang utama.

Sumbangan 

Sumber kewangan yang lain melalui sumbangan atau derma contohnya daripada Persatuan Ibubapa dan Guru dan badan-badan swasta dan kerajaan. 

Aktiviti 

Persatuan Aktiviti persatuan yang dijalankan juga dapat menambah pendapatan persatuan. Contoh aktiviti yang dapat dijalankan seperti gerai jualan makanan, T-shirt, cenderamata dan sebagainya.

Thursday, 16 April 2015

Perayaan-perayaan Kaum India..

Masyarakat India meraihkan pelbagai jenis perayaan di negara kita. Antaranya ialah Gokul Ashtami, Perayaan Panguni Uthiram, Maha Shivarathiri, Tamil Puthandu, Thaipusam, Thai Ponggal, Deepavalli dan sebagainya.

Perayaan Gokul Ashtami merupakan perayaan yang disambut bagi Dewa Krishna yang merupakan salah satu avatar terkenal Tuhan Vishnu di mana Tuhan yang mulia ini merupakan anak raja Vasudeva dan isteri Devaki. Gokul Ashtami sebenarnya adalah sambutan Hari Jadi Tuhan Krishna dan ia sentiasa disambut pada hari kelapan separuh gelap bulan Bhadrapada terutamanya pada bulan Ogos atau September. Penganut meraihkan perayaan ini dengan penuh kegembiraan di mana pembacaan 'Bhagavatgita', Kirtans dinyayikan, loceng dibunyikan, daun telinga ditiup, dan pujian Sanskrit dibacakan dalam memuji Tuhan Krishna.

Perayaan Panguni Uthiram merupakan perkahwinan Tuhan Parvati dan Parameswara serta Muruga dan Deivanei. Perayaan ini disambut pada bulan 'Panguni' iaitu pada bulan Mac hingga April. Bulan ini dianggap istimewa kerana bintang 'Uthiram' dan 'Pournami' yang berlaku serentak. 

'Maha Shivarathiri' adalah suatu perayaan masyarakat india yang diraihkan pada malam hari keempat belas separuh gelap dalam bulan 'Masi' yang sepadan dengan bulan Februari hingga Mac sebagai penghormatan kepada Tuhan Shiva, salah satu daripada Trinity Tamil, yang mewakili aspek pemusnah di alam semesta.

Tamil Puthandu ataupun dikenali sebagai Tahun Baru Tamil merupakan sambutan hari pertama tahun baru Tamil tradisional pada pertengahan bulan April oleh masyarakat Tamil. Pada hari perayaan ini, masyarakat Tamil akan memberi salam antara satu sama lain dengan berkata 'Iniya Tamil Puthandu Nalvazhthukkal'. Masyarakat Tamil percaya bahawa pada hari perayaan Tamil Puthandu, Tuhan Brahma memulakan penciptaannya di dunia. 

Hari Thaipusam merupakan satu perayaan yang disambut oleh masyarakat yang beragama Hindu di seluruh dunia. Perayaan ini disambut bagi menghormati Dewa Murugan. Perayaan ini disambut pada bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil yang dikenali juga sebagai bulan 'Thai'. Bagi penganut yang beragama Hindu, Thaipusam adalah hari untuk menghapuskan dosa-dosa dan bertaubat sepenuhnya akan kesalahan yang lepas.

Thai Ponggal merupakan perayaan menuai yang diraih mengikut kalender Hindu. Disebabkan hari perayaan Thai Ponggal ditetapkan dalam kalendar Hindu, perayaan ini disambut berbeza dengan tempoh menuai yang sebenar. Pada kebiasaannya, masyarakat Tamil akan meraihkan perayaan menuai ini pada minggu kedua bulan Januari. Perayaan ini disambut empat hari berturut-turut sebagai tanda berterima kasih.

Hari Deepavalli diterjemahkan dengan Deretan atau Pesta Cahaya. Perayaan ini akan disambut oleh penganut agama Hindu sebagai tanda kemenangan terhadap kejahatan dan penanggalan kegelapan rohani. Perkataan Deepavalli merupakan gabungan perkataan 'Dipa' yang bererti cahaya.

Setahu Saya..GST!!

Jenis-jenis cukai yang terdapat di negara kita ialah cukai langsung dan cukai tidak langsung. Antara cukai yang dikategorikan sebagai cukai-cukai langsung ialah cukai korporat, cukai pendapatan individu, cukai keuntungan harta tanah, dan duti setem manakala cukai-cukai tidak langsung adalah duti kastam, duti eksais, cukai jualan serta cukai perkhidmatan. Sebelum GST diperkenalkan, SST iaitu 'Sales and Service Tax' telah diperkenalkan sejak tahun 1972 di mana barang-barang bercukai jualan 5 peratus dan 10 peratus serta cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus.

GST iaitu 'Goods and Service Tax' telah diperkenalkan pada 1 April 2015 secara rasminya di negara kita iaitu hanya sebanyak 6 peratus sahaja cukai dikenakan sebagai cukai jualan dan perkhidmatan. Sebanyak 160 buah negara sedang mengamalkan sistem GST ini manakala 49 buah negara masih belum mengamalkannya. Selain itu, kadar 6 peratus GST ini merupakan kadar yang terendah di ASEAN jika dibandingkan dengan negara Singapura yang mengamalkan 7 peratus cukai dan 10 peratus cukai dikenakan di negara-negara Indonesia, Filipina, Kemboja, Laos, Thailand dan Vietnam. Kadar ini juga dikenakan kepada peniaga-peniaga yang mendapat jumlah keuntungan yang melebihi RM 500,000 setahun dan peniaga yang lain adalah dikecualikan daripada mengenakan cukai ini.

Seterusnya, kadar cukai GST iaitu GST dikenakan kepada setiap golongan dalam aliran perniagaan seperti pengeluar, pembekal, pengilang, pengusaha dan akhirnya pelanggan pada kadar yang sama iaitu 6 peratus. 

Dalam pelaksanaan model GST di Malaysia, terdapat juga barang-barang yang tidak dikenakan cukai iaitu bekalan yang bernilai sifar dan barangan atau perkhidmatan yang dikecualikan daripada dikenakan kadar GST. Antara bekalan yang berkadar sifar adalah barangan makanan, produk pertanian, binatang ternakan dan daging, makanan laut serta utiliti eksport manakala contoh barangan atau perkhidmatan yang dikecualikan daripada dikenakan cukai adalah perkhidmatan LRT, bas, teksi kereta sewa, tol, pengangkutan air, tanah, pendidikan, kesihatan, rumah kediaman, dan kewangan.

Antara isu-isu GST ialah GST akan menyebabkan harga barang meningkat. Penyelesaian telah diberikan bahawa pengagihan sebanyak 10 peratus bagi barang-barang mewah yang sanggup dibeli oleh golongan masyarakat yang berpendapatan tinggi dan 6 peratus perkhidmatan bercukai bagi barang-barang atau perkhidmatan seperti restoran, astro, hotel, perkhidmatan profesional, tempat letak kereta, pusat servis kereta dan perkhidmatan kawalan keselamatan.

Isu seterusnya adalah isu bahawa GST membebankan rakyat. GST hanya mengenakan kadar spesifik sebanyak 6 peratus yang telah diperkenalkan pada 1 April 2015 manakala SST yang diamalkan telah mengenakan cukai jualan sebanyak 5 peratus dan 10 peratus serta cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus. Tambahan pula, model GST meliputi kadar-kadar sifar dan kadar pengecualian bagi sesetengah barangan dan perkhidmatan. Isu-isu lain yang telah dipersoalkan pada masa ini ialah masa ini bukan masa yang sesuai untuk melaksanakan GST, kos kesihatan akan dinaikkan harga dan ahkirnya isu kenaikan harga serta 'profiteering' akan membebankan rakyat semata-mata.

Selain itu, manfaat-manfaat akan timbul akibat pelaksanaan GST dalam sektor pembangunan, sosial, dan keselamatan. Dalam sektor pembangunan, GST akan meningkatkan kadar ekonomi negara kita manakala dari segi sektor sosial pula GST akan memberi sumbangan kepada kesihatan, sistem pengajaran dan pembelajaran, rekreasi serta kebajikan sosial.

Pelbagai soalan telah timbul dalam kalangan masyarakat seperti sebab-sebab pihak kerajaan menolak permintaan untuk membuat penangguhan bagi pelaksanaan GST, kebaikan-kebaikan yang dapat diterima oleh pelajar-pelajar apabila pangamalan GST dilaksanakan sebagai individu yang sanggup menganut ilmu dan tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh seseorang apabila dikenakan GST yang tidak sepatutnya dikenakan.

Penyampaian penjelasan yang sangat memberangsangkan akan membuka minda segolongan individu yang sentiasa berpendapat negatif pada setiap pelaksanaan kerajaan tanpa mengetahui maklumat yang sepenuhnya. Seseorang individu mestilah bijak dan berinformasi tentang perubahan keadaan dari semasa ke semasa. Setiap individu juga harus mengetahui bahawa GST memberi keuntungan kepada kerajaan dan wang tersebut disalurkan bagi pembangunan negara dan juga rakyat.