Friday 17 April 2015

Pengauditan...

Dalam sesebuah ekonomi, terutamanya ekonomi hari ini, pelaburan dalam bidang perindustrian memainkan peranan yang amat penting. Untuk sebuah organisasi perniagaan yang besar, modal perniagaannya diterima daripada para pelabur yang datang daripada berbagai-bagai golongan dan lapisan masyarakat di peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Organisasi seperti ini juga mempunyai cawangan perniagaannya di tempat lain yang berjauhan. Dalam situasi seperti ini penyata dan laporan kewangan merupakan satu cara komunikasi yang paling berkesan antara kedua-dua belah pihak, iaitu pelabur dan entiti. 


Para pelabur tidak akan dapat melihat sendiri bagaimana modal yang mereka amanahkan ke dalam organisasi ini diperniagakan. Jadi mereka akan bergantung sepenuhnya pada penyata kewangan tahunan yang akan memberikan maklumat sama ada modal pelaburan mereka digunakan dengan betul, cekap dan menguntungkan atau sebaliknya. Begitu juga dengan pihak pengurusan yang sentiasa bergantung pada laporan kewangan dan bentuk komunikasi lain yang memberikan maklumat ekonomi untuk tujuan mengurus dan mengawal modal yang dilaburkan di dalam organisasi mereka.

Bagi pihak kerajaan pula, maklumat tentang aktiviti-aktiviti kewangan amat diperlukan untuk beberapa tujuan tertentu. Pertama, sebahagian besar sumber pendapatan kerajaan diperoleh daripada cukai pendapatan yang dikutip daripada syarikat. Keupayaan kerajaan membelanjakan wang negara untuk tujuan pembangunan bergantung pada kewujudan sumber kewangan. Laporan kewangan tahunan dapat menunjukkan jumlah pendapatan yang boleh dicukai. Kedua, kerajaan memerlukan maklumat seperti ini untuk mengetahui setakat mana hasil daripada aktiviti perniagaan telah membantu menambahkan lagi hasil keluaran negara kasar. Oleh itu, kerajaan perlu mengawal dan menguasai pertumbuhan perniagaan dan perdagangan di dalam negara untuk menentukan pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang. Seterusnya, dasar negara untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi bergantung pada ukuran kuantitatif aktiviti-aktiviti perniagaan seperti yang dilaporkan di dalam penyata kewangan.

Secara ringkasnya, penyata kewangan yang terdiri daripada penyata pendapatan, kunci kira-kira, penyata aliran tunai serta nota kepada perakaunan, bertujuan untuk menyampaikan maklumat tentang hasil pengendalian syarikat untuk tempoh perakaunan dan kedudukan kewangan pada tarikh akhir tempoh tersebut. Maklumat kewangan itu diperlukan oleh pengguna yang berikut:

(a) Pengurus syarikat. 
(b) Para pelabur. 
(c) Pemiutang. 
(d) Para pekerja. 
(e) Pihak kerajaan.
(f) Para pengguna lain.

Memandangkan pentingnya peranan yang dimainkan oleh laporan kewangan, seperti yang dinyatakan di atas, piawaian perakaunan yang sesuai dan cara laporan yang berkesan amat diperlukan untuk mencapai tujuan tersebut.

No comments:

Post a Comment