Friday 17 April 2015

Motivasi Pekerja...


Add caption
Motivasi merupakan suatu proses yang menggalakkan para pekerja supaya memberi sumbangan tenaga dan masa bagi mencapai matlamat-matlamat sesebuah organisasi. Menurut Abraham Maslow, penggerak kepada motivasi seseorang ialah kehendak manusia untuk memenuhi lima keperluan dalam kehidupan iaitu keperluan fisiologi, keperluan keselamatan, keperluan sosial, keperluan kehormatan diri, dan keperluan perkembangan diri. Kaunselor sesebuah organisasi mesti memberi motivasi kepada para pekerja untuk menyedarkan dan memupuk semangat untuk bekerja tanpa rasa jemu bagi mencapai matlamat organisasi. Terdapat beberapa kesan motivasi kepada para pekerja iaitu meningkatkan komitmen dalam organisasi, meningkatkan prestasi kerja, dan meningkatkan kualiti kerja.


Dari segi meningkatkan komitmen dalam organisasi, komitmen merupakan ikatan psikologi yang melibatkan sikap dan identiti seseorang pekerja dalam sesebuah organisasi. Aspek komitmen adalah sangat penting dalam sesebuah organisasi dan kepentingannya boleh dikaitkan dengan tiga faktor iaitu keyakinan dan penerimaan yang tidak berbelah terhadap objektif dan matlamat organisasi, kesanggupan kakitangan organisasi menyumbangkan segala tenaga dan raga untuk kemajuan organisasi, dan keinginan yang kuat untuk memelihara keahlian dalam organisasi. 

Seterusnya, dari segi meningkatkan prestasi kerja, setiap motivasi yang disampaikan oleh kaunselor kepada para pekerja dalam sesebuah organisasi mampu meningkatkan prestasi kerja. Hal ini demikian kerana kaunselor banyak menumpukan kepada perkembangan klien dan para pekerja berbanding pengurus yang mengutamakan pengurusan organisasi semata-mata tanpa memahami kehendak pekerjanya secara mendalam. 

Dari segi meningkatkan kualiti kerja, motivasi memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan kualiti kerja. Peningkatan kualiti kerja merujuk kepada meningkatkan usaha yang sedia ada kepada suatu tahap yang lebih baik. Hal ini demikian kerana ruang bagi meningkatkan kualiti kerja sentiasa terbuka selaras dengan perubahan persekitaran, pengetahuan, dan teknologi. 


Secara kesimpulannya, motivasi merupakan elemen yang penting dalam sesebuah organisasi kerana motivasi dapat meningkatkan semangat para pekerja untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat atau objektif organisasi.


No comments:

Post a Comment