Thursday 16 April 2015

Setahu Saya..GST!!

Jenis-jenis cukai yang terdapat di negara kita ialah cukai langsung dan cukai tidak langsung. Antara cukai yang dikategorikan sebagai cukai-cukai langsung ialah cukai korporat, cukai pendapatan individu, cukai keuntungan harta tanah, dan duti setem manakala cukai-cukai tidak langsung adalah duti kastam, duti eksais, cukai jualan serta cukai perkhidmatan. Sebelum GST diperkenalkan, SST iaitu 'Sales and Service Tax' telah diperkenalkan sejak tahun 1972 di mana barang-barang bercukai jualan 5 peratus dan 10 peratus serta cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus.

GST iaitu 'Goods and Service Tax' telah diperkenalkan pada 1 April 2015 secara rasminya di negara kita iaitu hanya sebanyak 6 peratus sahaja cukai dikenakan sebagai cukai jualan dan perkhidmatan. Sebanyak 160 buah negara sedang mengamalkan sistem GST ini manakala 49 buah negara masih belum mengamalkannya. Selain itu, kadar 6 peratus GST ini merupakan kadar yang terendah di ASEAN jika dibandingkan dengan negara Singapura yang mengamalkan 7 peratus cukai dan 10 peratus cukai dikenakan di negara-negara Indonesia, Filipina, Kemboja, Laos, Thailand dan Vietnam. Kadar ini juga dikenakan kepada peniaga-peniaga yang mendapat jumlah keuntungan yang melebihi RM 500,000 setahun dan peniaga yang lain adalah dikecualikan daripada mengenakan cukai ini.

Seterusnya, kadar cukai GST iaitu GST dikenakan kepada setiap golongan dalam aliran perniagaan seperti pengeluar, pembekal, pengilang, pengusaha dan akhirnya pelanggan pada kadar yang sama iaitu 6 peratus. 

Dalam pelaksanaan model GST di Malaysia, terdapat juga barang-barang yang tidak dikenakan cukai iaitu bekalan yang bernilai sifar dan barangan atau perkhidmatan yang dikecualikan daripada dikenakan kadar GST. Antara bekalan yang berkadar sifar adalah barangan makanan, produk pertanian, binatang ternakan dan daging, makanan laut serta utiliti eksport manakala contoh barangan atau perkhidmatan yang dikecualikan daripada dikenakan cukai adalah perkhidmatan LRT, bas, teksi kereta sewa, tol, pengangkutan air, tanah, pendidikan, kesihatan, rumah kediaman, dan kewangan.

Antara isu-isu GST ialah GST akan menyebabkan harga barang meningkat. Penyelesaian telah diberikan bahawa pengagihan sebanyak 10 peratus bagi barang-barang mewah yang sanggup dibeli oleh golongan masyarakat yang berpendapatan tinggi dan 6 peratus perkhidmatan bercukai bagi barang-barang atau perkhidmatan seperti restoran, astro, hotel, perkhidmatan profesional, tempat letak kereta, pusat servis kereta dan perkhidmatan kawalan keselamatan.

Isu seterusnya adalah isu bahawa GST membebankan rakyat. GST hanya mengenakan kadar spesifik sebanyak 6 peratus yang telah diperkenalkan pada 1 April 2015 manakala SST yang diamalkan telah mengenakan cukai jualan sebanyak 5 peratus dan 10 peratus serta cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus. Tambahan pula, model GST meliputi kadar-kadar sifar dan kadar pengecualian bagi sesetengah barangan dan perkhidmatan. Isu-isu lain yang telah dipersoalkan pada masa ini ialah masa ini bukan masa yang sesuai untuk melaksanakan GST, kos kesihatan akan dinaikkan harga dan ahkirnya isu kenaikan harga serta 'profiteering' akan membebankan rakyat semata-mata.

Selain itu, manfaat-manfaat akan timbul akibat pelaksanaan GST dalam sektor pembangunan, sosial, dan keselamatan. Dalam sektor pembangunan, GST akan meningkatkan kadar ekonomi negara kita manakala dari segi sektor sosial pula GST akan memberi sumbangan kepada kesihatan, sistem pengajaran dan pembelajaran, rekreasi serta kebajikan sosial.

Pelbagai soalan telah timbul dalam kalangan masyarakat seperti sebab-sebab pihak kerajaan menolak permintaan untuk membuat penangguhan bagi pelaksanaan GST, kebaikan-kebaikan yang dapat diterima oleh pelajar-pelajar apabila pangamalan GST dilaksanakan sebagai individu yang sanggup menganut ilmu dan tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh seseorang apabila dikenakan GST yang tidak sepatutnya dikenakan.

Penyampaian penjelasan yang sangat memberangsangkan akan membuka minda segolongan individu yang sentiasa berpendapat negatif pada setiap pelaksanaan kerajaan tanpa mengetahui maklumat yang sepenuhnya. Seseorang individu mestilah bijak dan berinformasi tentang perubahan keadaan dari semasa ke semasa. Setiap individu juga harus mengetahui bahawa GST memberi keuntungan kepada kerajaan dan wang tersebut disalurkan bagi pembangunan negara dan juga rakyat.

No comments:

Post a Comment