Friday 17 April 2015

Sistem Pendidikan di Malaysia...


Sistem pendidikan merupakan elemen yang penting bagi sesebuah negara dalam usaha menuju ke arah membangunkan masyarakat dari segi ekonomi, politik, dan sosial. Sistem pendidikan bukan sahaja berperanan untuk memberi pelajaran kepada masyarakat semata-mata, tetapi ia juga merupakan saluran penyampaian maklumat kepada masyarakat berkenaan dengan wadah perjuangan negara yang mementingkan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum demi mencapai perpaduan.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai etnik, agama, keturunan, warna kulit, bahasa, budaya, kepercayaan, dan adat resam yang tersendiri. Malaysia juga merupakan satu-satunya negara yang mempunyai masyarakat yang hidup sebagai masyarakat majmuk. 

Selain itu, melalui pendidikan, nilai-nilai murni seperti bekerjasama, hormat-menghormati, bertoleransi, dan aspek-aspek moral diterapkan dalam diri remaja supaya dapat melahirkan pewaris negara yang berkualiti, bertanggungjawab, berdaya saing, dan bersifat patriotik. Hal ini penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sistem pendidikan yang terbaik adalah sistem pendidikan yang merangkumi keseluruhan kehidupan masyarakat Malaysia. Sistem pendidikan tidak hanya terhenti apabila seseorang individu tamat persekolahan atau tamat pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi, tetapi ia menjadi kesinambungan dalam kehidupan seseorang individu sehingga ke hari tua dengan memberi sumbangan bagi memartabatkan bangsa dan negara. Tambahan pula, sistem pendidikan ialah suatu proses untuk membentuk insan yang berakhlak mulia. 

Kerajaan telah memperkenalkan dasar pendidikan kebangsaan kepada rakyat Malaysia supaya mereka menjadikan dasar ini sebagai pegangan hidup mereka dalam mencapai perpaduan kaum yang harmoni. Hal ini telah menyebabkan sistem pendidikan telah menjadi sebagai salah satu alat untuk mencapai perpaduan di Malaysia.


No comments:

Post a Comment